Integriti Asas Kehidupan..!!!

posted by Hasnul Azizi (-nEtPoSt-)

Kali ini saya ingin menyentuh mengenai maksud sebenar 'INTEGRITI' setelah saya dalami dan terokai. Mengikut Kamus Dwibahasa DBP, 1985, ialah kejujuran dan ketulusan; kesempurnaan; keutuhan. Sifat ini adalah merupakan sifat yang terpenting atau sebagai pelengkap sifat-sifat mahmudah yang lain. 'INTEGRITI' boleh kita lihat sebagai sifat pemangkin kemajuan satu-satu masyarakat. Dari terpupuknya sifat ini akan terbitlah atau terlaksanalah sifat-sifat yang lain dan akan memberi impak yang positif dalam kehidupan kita seharian.

"Kita perlu sentiasa berdoa agar sifat
integriti wujud dalam diri kita"


Adalah mustahil orang seperti kita dapat melihat keikhlasan atau ketulusan seseorang. Kita hanya boleh menilai dan ianya hanya sekadar andaian kita dan tidak semestinya betul atau tepat. Menurut Dato' Dr. Hj. Mohd. Fadzilah Kamsah dalam sesi motivasi pendek di stesen radio terkemuka ERA FM, 'INTEGRITI' dapat digambarkan seperti seekor semut hitam di atas batu hitam pada waktu malam yang gelap. Cuba anda fikirkan mampukah untuk kita melihat semut itu dengan keadaan yang sebegitu...??


"...seperti seekor semut hitam di atas batu hitam pada waktu malam yang gelap."

Dato' Dr. Hj. Mohd. Fadzilah Kamsah



Keikhlasan yang wujud dalam diri seseorang adalah begitu subjektif sehinggakan selalunya kita sendiri tak tahu sama ada kita betul-betul ikhlas atau tidak dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Hanya Allah yang Maha Melihat sahaja dapat menilai apa sahaja yang kita lakukan sama ada cukup ikhlas atau tidak.

Mengikut pandangan saya, 'INTEGRITI' juga bermaksud kesedaran kita untuk melaksanakan tugas kita sehabis baik walaupun tanpa dipantau. Selalunya kita akan hipokrit untuk menyelamatkan diri sendiri. Kita hanya akan melaksanakan tugas apabila disuruh. Sifat ini amatlah tidak elok jika diamalkan. Contohnya mengenai penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keselamatan bagi penumpang bahagian belakang kereta. Matlamat kerajaan tidak akan kesampaian jika kita tiada kesedaran untuk sentiasa berbuat sedemikian walaupun tiada pihak penguasa yang memantau.

" Sentiasa pakai tali pinggang keselamatan
bagi penumpang bahagian belakang kereta "

Kita sebagai pemimpin atau bakal pemimpin yang bakal berhadapan dengan orang bawahan yang terdiri dari pelbagai identiti dan ragam perlu belajar cara yang berkesan bagi memupuk sifat 'INTEGRITI' dalam diri setiap anggota bawahan kita. Tetapi sebelum kita mengubah orang bawahan kita, kita seharusnya berusaha mengubah diri sendiri terlebih dahulu. Jika tidak menjadi pemimpin dalam sesuatu organisasi, kita sudah tentu akan menjadi ketua dalam keluarga sendiri suatu hari nanti. Jadilah tauladan yang baik kepada isteri dan anak-anak kita sendiri agar dapat melahirkan masyarakat yang berkualiti pada masa hadapan.

" Ketua keluarga yang baik akan menentukan
keluarganya dalam keadaan yang baik
sepanjang masa"


Kesimpulannya, sifat 'INTEGRITI' perlu kita pupuk bermulanya dalam institusi keluarga kerana pendidikan di rumah adalah pendidikan yang paling berkesan. Jika sifat ini dapat dipupuk sejak kecil lagi, maka sifat ini akan berterusan dan bakal menjamin kualiti kehidupan yang lebih sempurna khususnya di negara kita.


p/s : Kesemua gambar dalam artikel ini hanya sekadar hiasan.

Hasnul Azizi

No comments: