posted by Hasnul Azizi (-nEtPoSt-)
Setelah hampir seminggu saya tak update blog saya, akhirnya saya dapat satu tajuk yang agak mulia dan berbeza dari artikel-artikel saya sebelum ini. Ini diilhamkan atau lebih tepat saya diminta untuk mengupas atau mengulas serba sedikit mengenai anak yatim di Malaysia khususnya oleh salah seorang pembaca blog ini.
MAKSUDSebelum pergi lebih jauh, kita perlu tahu pengertian anak yatim yang sebenarnya. Anak yatim dalam bahasa Inggeris disebut 'orphanage'. Mengikut istilah pula, anak yatim memberi maksud kanak-kanak yang masih belum baligh dan kemudiannya kehilangan atau kematian salah satu dari ibu atau bapanya. Sedikit berbeza dengan yatim piatu yang bermaksud kanak-kanak yang masih belum baligh dan kemudiannya kehilangan atau kematian kedua-dua ibu dan bapanya.
Bagi orang yang sudah dewasa dan kemudiannya kehilangan ibu bapa tidaklah digelar sebagai anak yatim lagi kerana mereka sudah pun mampu menyara dan menjaga diri sendiri. Ianya hanya sesuai digunakan untuk kanak-kanak sahaja kerana mereka tidak mampu menjaga dan menyara diri sendiri dan masih memerlukan pertolongan serta bantuan dari orang lain.
PERASAANPerasaan menjadi seorang anak yatim tidak dapat saya ungkapkan secara telus berikutan saya sendiri tidak mengalami situasi sebagai anak yatim. Tetapi mengikut Islam sendiri, anak-anak yatim perlu dilayan dengan baik dan jika mereka melakukan kesilapan, maafkanlah mereka kerana mereka tidak mempunyai ibu bapa yang mendidik mereka sebagaimana kita dididik oleh ibu bapa kita.
Kita harusnya menjaga hati anak-anak yatim dengan tidak mengungkit perkara yang mampu mengingatkan mereka tentang ibu bapa mereka yang sudah tiada. Di dalam adab perbualan, cuba elakkan perkara sedemikian untuk membuktikan bahawa kita melayan mereka sama seperti insan-insan lain dan tiada apa pun yang membezakan kita dengan mereka.
RAIKAN ANAK YATIMDi Malaysia, antara yang dapat saya lihat dengan jelas selalu dikaitkan dengan anak yatim adalah 'Tabung Anak-Anak Yatim', 'Rumah Anak-Anak Yatim', Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim' dan tidak ketinggalan 'Sambutan Hari Raya Bersama Anak-Anak Yatim'.
Setelah saya teliti, dapat saya simpulkan bahawa masyarakat di Malaysia amat prihatin dengan golongan-golongan seperti ini. Golongan ini masih lagi mendapat simpati rakyat tidak kira dari golongan kaya mahupun miskin yang sanggup turut serta berganding bahu dalam usaha meringankan beban anak yatim. Murahnya hati rakyat Malaysia dapat kita lihat dengan sumbangan-sumbangan wang mahupun keperluan harian kepada Rumah-rumah Kebajikan yang membela nasib anak-anak yatim di Malaysia.
RENUNGANRasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:"Sebaik-baik rumah kaum muslimin ialah rumah yang ada anak yatim yang diasuh dengan baik dan sejahat-jahat rumah kaum muslimin adalah rumah yang ada anak yatim yang selalu diganggu dan disakiti hatinya." Riwayat Ibnu Majah.
Huraian Hadith ;
i) Penghormatan dan bantuan kepada anak yatim mestilah dijaga terutama mereka yang terdiri daripada keluarga yang susah kerana anak yatim begitu memerlukan perhatian yang sewajarnya dalam meneruskan kehidupan sebagaimana yang dirasai oleh anak-anak yang lain. Mereka begitu rindukan belaian kasih sayang dan juga keprihatinan semua pihak agar mereka turut gembira.
ii) Rasulullah s.a.w juga merupakan anak yatim di mana bapanya Abdullah meninggal ketika umurnya 2 bulan dalam kandungan. Manakala ibunya Aminah pula meninggal ketika baginda baru berumur 6 tahun iaitu ketika usia seseorang itu dahagakan kasih sayang seorang ibu. Datuknya Abdul Muttalib turut meninggalkan baginda ketika usia baginda 8 tahun.
iii) Allah turut menyebut bagaimana keadaan nabi dan bagaimana pula Allah membantu baginda sehingga menjadi pemimpin yang teragung.
Firman Allah dalam ayat 6 - 11 surah ad-Dhuha yang bermaksud :
"Bukankah Dia yakni Allah mendapati engkau wahai Muhammad yatim piatu lalu Dia memberikan perlindungan. Di dapatiNya engkau mencari-cari jalan kebenaran lalu Dia memberikan petunjuk. Didapati-Nya engkau miskin lalu Dia memberikan kekayaan. Oleh itu, janganlah engkau mengasari anak yatim. Jangan engkau menengking orang yang meminta pertolongan. Maka hendaklah engkau menyebut-nyebut nikmat Tuhanmu sebagai tanda syukur kepadaNya."
iv) Islam melarang umatnya daripada mengkhianati dan menghina anak yatim. Tetapi hendaklah memastikan agar hak mereka dalam memiliki harta, ilmu dan kasih sayang sentiasa terjaga. Pastikan mereka lahir sebagai anak yang soleh yang mampu membantu ibu atau bapa mereka yang telah meninggal dunia kerana sesungguhnya membiarkan mereka bererti kita telah mengkhianati agama dan menghina mereka bererti kita turut membenci Rasulullah s.a.w yang juga merupakan anak yatim piatu. Oleh itu bimbinglah mereka ke jalan yang diredhai Allah dan jauhilah mereka daripada jalan kesesatan.
Allah telah memberi amaran melalui firmanNya dalam Ayat 1-2 Surah al-Ma'un yang bermaksud :
"Tahukah engkau tentang orang yang mendustakan agama. Dia ialah orang yang menindas serta berlaku zalim terhadap anak yatim !"
PERSATUAN & YAYASAN